fbpx

PENGENALAN MOMOGUN MUSLIM

Momogun merujuk kepada rumpun lebih 40 etnik dan lebih 100 sub-etnik di Sabah.

“Nama ‘Momogun’ sudah digunakan lebih awal berbanding nama ‘Dusun’ dan ‘Kadazan’. Berbanding dengan nama ‘Dusun’ dan ‘ Kadazan’, nama ‘Momogun’ lebih tulen dan asli. Momogun berasal daripada perkataan bahasa tenik-etnik serumpun. – Henry Bating, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).”

“Presiden Dato’ Jelani Hamdan (Presiden SAMORA) berkata sejak tahun awal pembentukan SAMORA iaitu 1984 lagi persatuan ini telah menggunapakai perkataan Momogun. Dan pada tahun 2013 beliau telah secara rasmi mencadangkan terminologi “Momogun” bagi menggantikan Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) sebagai identity pribumi atau penduduk asal Sabah. Katanya beliau mengemukakan cadangan penggunaan perkataan Momogun untuk menggantikan KDMR supaya tidak menyebabkan kekeliruan dan kecelaruan.”

usaha membina peradaban dan budaya Momogun Muslim

Momogun Muslim adalah nama kepada kumpulan subetnik Kadazan, Dusun, Rungus, Sungai, Murut dan lain-lain ahli masyarakat hampir 100 kumpulan pribumi etnik di Sabah yang telah memeluk agama Islam.

Sejarah kemasukan kumpulan ini ke dalam agama Islam didokumenkan berlaku di dalam beberapa kelompok. Sekarang sudah terdapat jumlah yang ramai dari semua subetnik di Sabah ini yang telah memeluk agama Islam.

Kemasukan kumpulan ini ke dalam agama Islam tidak dirancang dari segi bentuk budaya, peradaban dan jati diri yang diambil oleh individu dan kelompok yang memeluk Islam. Kerap kali individu atau kelompok yang memeluk Islam dari kalangan Momogun mengambil budaya masyarakat majoriti Islam, di tempat mereka memeluk Islam. Ramai yang mengambil budaya Melayu, Brunei, Bajau, Jawa dan selainnya.

Apabila ini berlaku, masyarakat pribumi yang tinggal sebagai pribumi dengan subetnik berkenaan hanyalah Kristian atau Pagan, kerana yang memeluk Islam telah bertukar menjadi budaya lain iaitu budaya masyarakat Islam yang majoriti di tempat berkenaan.

Mualaf atau saudara baru Momogun perlu menghadapi kesukaran tidak hanya menukar agama tetapi juga meninggalkan budayanya kepada budaya yang lain. Keluarga mualaf Momogun pula, selalunya amat tersinggung dengan penolakan mereka kepada nama yang diberikan dan tradisi mereka.

Kesan daripada ini telah, dalam banyak kes, menghasilkan pengasingan dan kehilangan peluang dakwah yang penting antara Momogun Muslim baru dan masyarakat mereka yang telah mereka “buang”.

Jangkaan mengalami perubahan yang begitu drastik juga merupakan halangan utama kepada sebahagian masyarakat Momogun tidak memilih untuk memeluk Islam. Oleh itu, membuat pilihan yang sukar menjadi lebih susah.

Wujudnya dua perubahan yang perlu dilakukan iaitu perubahan bukan hanya kepada akidah tetapi juga budaya, menimbulkan halangan kepada masyarakat subetnik pribumi berkenaan dari memeluk agama Islam.

Sudah tiba masanya golongan pribumi ini memiliki peradaban budayanya yang tersendiri, di atas kesedaran inilah maka usaha membangunkan sebuah peradaban dengan budaya baru iaitu Momogun Muslim ini dimulakan.

Usaha ini adalah untuk membina peradaban Momogun Muslim yang selari dengan syariat dan adat budaya asal pribumi tersebut. Adalah menjadi wawasan kami bahawa di dalam Momogun Muslim nanti akan wujud semua subetnik seperti;
a) Kadazan Muslim,
b) Dusun Muslim,
c) Murut Muslim,
d) Rungus Muslim,
e) Sungai Muslim dan semua yang lain.

Usaha ini sudah tentu memerlukan satu gerak kerja teratur yang disahkan oleh institusi agama, disambut oleh akar umbi masyarakat dan disokong oleh pemerintah.

Identiti momogun Muslim

Momogun Muslim adalah mereka yang berketurunan dari etnik dan sub etnik Kadazan, Dusun Liwan, Dusun Tatana, Rungus, Murut, Sungai, Lotud, Kimaragang, Dusun Tongod dan lain-lain.

Ciri-ciri masyarakat Momogun Muslim adalah seperti berikut:

  • Akidah mereka adalah akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan secara umumnya bermazhab Syafie.
  • Ibadah mereka mempraktikkan fardhu ain dan fardhu kifayah tuntutan Islam secara sempurna.
  • Di dalam dakwah mereka berusaha menerapkan ad-deenul Islam sebagai cara hidup yang sempurna dengan penuh hikmah, nasihat peringatan yang baik dan berusaha meyakinkan dengan cara yang terbaik.
  • Akhlak mereka terserlah dari segi pemikiran, tingkah laku dan percakapan yang positif, sopan, pengasih, penyayang, menghormati ibubapa dan orang lain, berusaha mengawal emosi, menerima pandangan orang lain, mengenang jasa serta berfikir sebelum bertindak.
  • Jati diri mereka berkeyakinan diri, tabah, bersemangat tinggi, berani dan berlandaskan syariat.
  • Dari segi ekonomi mereka mengutamakan sikap mandiri dengan usaha perniagaan, pertanian dan perladangan di kalangan masyarakatnya supaya berdaya saing dan mampu menyumbang kembali kepada masyarakat, agama dan negara.
  • Masyarakat mereka mementingkan tarbiyah, usaha mendidik, membimbing, mengasuh dan membangunkan setiap ahlinya di dalam bidang ilmu, kemahiran, sikap dan keyakinan yang sempurna.
  • Masyarakat mereka mementingkan tarbiyah, usaha mendidik, membimbing, mengasuh dan membangunkan setiap ahlinya di dalam bidang ilmu, kemahiran, sikap dan keyakinan yang sempurna.
  • Budaya mereka adalah budaya Momogun Muslim yang sesuai dengan adat resam asal dan mematuhi syariat Islam yang sempurna.

Yang menjalankan amanah :

TUAN HAJI NICHOLAS SYLVESTER
Pengerusi Pertubuhan Momogun Muslim SeMalaysia

Disahkan oleh :

SS DATUK HAJI BUNGSU @ AZIZ JAAFAR
Mufti Kerajaan Negeri Sabah

05 / 09 / 2017