fbpx

Kisah Inspirasi : Perjuangan Malcolm X Menuntut Hak Asasi Manusia

Dalam sejarah dunia kontemporari, ramai juga  tokoh agama Islam yang datang dari negara-negara barat. Ini termasuklah Amerika Syarikat, yang terkenal dengan pemikiran terbuka serta kebebasan bersuara penduduknya.  

Walaupun begitu ia juga telah melahirkan ramai pejuang agama Islam yang pada mulanya merupakan penganut agama lain. Selain mereka yang berkulit putih, ada juga yang berkulit hitam dan berketurunan Afrika. Salah seorang yang dimaksudkan adalah Malcolm X. 

Namun siapakah Malcolm X dan apakah sumbangannya kepada masyarakat Islam secara umum?  Malcolm X sebenarnya dilahirkan dengan nama Malcolm Little pada 19 Mei 1925. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang beragama Kristian di mana ayahnya sendiri merupakan seorang paderi. Ayahnya juga seseorang yang pernah memperjuangkan isu rakyat berkulit hitam dan berketurunan Afrika sewaktu zaman kegemilangan kulit putih di Eropah dan Amerika Syarikat. 

Malcolm yang turut terikut dengan ajaran ini membesar dalam keadaan tidak menyukai orang berkulit putih.  Apatah lagi, ayahnya kemudian meninggal dunia sewaktu beliau kecil dan mereka terpaksa berpindah-randah demi keselamatan keluarga mereka ketika itu.  Lebih menyedihkan selepas pemergian ayahnya,  ibunya kemudian menghadapi gangguan mental kerana ditinggalkan seorang lelaki yang tidak mengahwininya dan telah membuntingkannya dengan bayi dalam kandungan.  Gara-gara itu, adik-beradiknya terpaksa ditempatkan di merata tempat, termasuk rumah ahli keluarga lain dan juga rumah keluarga angkat. 

Sungguhpun beliau mempunyai prestasi akademik yang bagus, beliau hilang minat terhadap pelajaran selepas diberitahu oleh salah seorang gurunya yang berkulit putih bahawa cita-citanya untuk menjadi peguam merupakan sesuatu yang tidak realistik buat seorang ‘negro’ atau penduduk berkulit hitam.  

Ini membuat dirinya beranggapan bahawa dunia kulit putih tidak akan memberikan peluang kepada rakyat berkulit hitam biarpun mereka mempunyai cita-cita tinggi. Gara-gara itu beliau menjadi sedikit liar dan sukar dikawal. Beliau mula terlibat dengan judi, dadah  dan pelbagai jenayah lain sehinggalah beliau tertangkap kerana mencuri dan dihukum penjara sekitar lapan hingga sepuluh tahun.  

Sewaktu di penjara beliau berkenalan dengan seorang banduan benama John Bembry yang telah mencetuskan minat mendalamnya untuk membaca. Dan sewaktu itu jugalah, adik-beradik beliau memberitahunya (melalui perutusan surat) tentang sebuah persatuan yang dikenali sebagai Nation of Islam. Abangnya yang telah pun menyertai persatuan itu memberitahu tentang perjuangan persatuan tersebut dan mengajaknya untuk sama-sama turut serta.  

Di saat itu, Malcolm bertukar pegangan kepada Islam dan tidak lagi makan babi, minum alkohol atau merokok. Dia kemudian menyertai persatuan itu di bawah bimbingan seorang lelaki bernama Elijah Mohammad. Dia juga menggelar dirinya sebagai Malcolm X kerana ingin membuang nama keluarganya yang menurutnya diberikan oleh keluarga kulit putih yang memperhambakan nenek moyangnya. 

Selepas bebas dari penjara, beliau kemudian mula bergerak aktif dalam persatuan tersebut dan mengumpul lebih ramai ahli untuk sama-sama menyertai dan memeluk Islam. Sungguhpun begitu, ideologi persatuan tersebut agak bercanggah dengan Islam sejati kerana mereka menganggap kesemua orang kulit putih adalah jahat. 

Walau bagaimanapun, sewaktu itulah era kegemilangan beliau memperjuangkan hak rakyat kulit hitam dan mereka yang teraniaya. Namun beberapa tahun kemudian beliau menyedari percanggahan ideologi persatuan tersebut dan memilih untuk meninggalkan persatuan itu dan memeluk agama Islam Sunni dan menukar namanya menjadi Malik el-Shabazz. Di saat itu beliau lebih yakin dengan  pendirian serta perjuangannya dan pada tahun 1964, beliau menunaikan fardu Haji di Mekah. 

Sewaktu menunaikan Haji beliau meninggalkan ajaran lamanya secara menyeluruh dan menyatakan bahawa satu-satunya penyelesaian untuk masalah perkauman di Amerika Syarikat ada dalam ajaran Islam Ortodoks (sejati). Beliau menyatakan ini selepas menyaksikan umat Islam dari pelbagai bangsa dan warna kulitbergaul secara bebas tanpa adanya kasta atau perbezaan.   

Sesudah itu, beliau dijemput ke pelbagai negara di Afrika, Eropah dan bandar lain di Amerika Syarikat untuk memberikan ucapan dalam menegakkan keadilan buat semua manusia tanpa mengira warna kulit.  

Sayang sekali perjuangan beliau tidak disukai oleh persatuan lamanya dan beliau telah dibunuh oleh anggota kumpulan tersebut pada 21 Februari 1965 sebelum menyampaikan ucapan di Manhattan New York.   

Pada hari pengebumiannya ramai yang hadir daripada pelbagai agama dan bangsa untuk memperingati jasa beliau sebagai pejuang rakyat jelata dan agamanya.  

Gambar ihsan Unsplash

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *