fbpx

Tuan Haji Nicholas Sylvester Terima Anugerah Khas Sempena Maulidur Rasul

Biarpun sambutan Maulidur Rasul telah berlalu namun kami berbesar hati ingin berkongsi setiap berita yang positif dan membanggakan acap kali ia membabitkan ahli komuniti Momogun Muslim sendiri.

Terbaru pada hari sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia, Tuan Haji Nicholas Sylvester telah sekali lagi mengharumkan nama komuniti Momogun Muslim dan pertubuhannya selepas mendapat sebuah anugerah khas sempena sambutan Maulud Nabi iaitu Anugerah Semarak Cinta Rasul.

Anugerah tersebut telah disampaikan sendiri oleh Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri sempena sambutan Maulidur Rasul. Dalam ucapan Datuk Seri Dr Zulkifli, beliau menyatakan bahawa ia merupakan penghargaan daripada pihak kerajaan Malaysia buat usaha-usaha dakwah yang telah dilakukan oleh para penerima anugerah.

“Saya berasa sangat bersyukur kepada Allah SWT dan merasa ia adalah pengiktirafan kepada usaha semua yang bersama dengan saya dan rakan-rakan dalam kafilah dakwah termasuklah para sahabat Hidayah Centre Foundation, Rakan Hidayah dan pelbagai NGO Islam lain yang turut serta berdakwah bersama.

Dengan itu saya dan rakan-rakan akan terus menggalas tanggungjawab perancangan untuk meneruskan usaha-usaha dakwah secara berjemaah dengan semua para pendakwah dan NGO pendakwah di Malaysia. Kami juga akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menyampaikan dakwah kepada semua lapisan masyarakat secara harmoni,” jelas Tuan Haji Nicholas Sylvester kala diminta mengulas tentang anugerah yang beliau terima itu.

Menurutnya juga sumber inspirasi untuk melakukan usaha ini datangnya dari para sahabatnya yang gigih berdakwah bersamanya dalam perjuangan menegakkan Islam dan menyampaikan mesej risalah Islam secara harmoni sambil terus berusaha berdakwah serta mencari keredhaan Allah SWT.

Semoga usaha murni beliau dan rakan-rakannya akan terus membuahkan hasil dan diberkati oleh Allah yang Maha Esa, Kami bagi pihak komuniti Momogun Muslim sekali lagi mengucapkan tahniah dan berdoa supaya usaha beliau akan terus diredhai. Inshaa Allah!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *