fbpx

Kisah Inspirasi : Daripada Cat Stevens ke Yusuf Islam

Menemui hidayah Allah memang merupakan sesuatu yang tidak dapat dijangka oleh mana-mana manusia. Di kalangan ramai tokoh dan personaliti dunia yang berhijrah dari agama lama mereka  ke agama Islam, ada juga mereka yang datang dari golongan artis dan mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia hiburan. 

Salah seorang bintang yang dimaksudkan adalah Yusuf Islam, yang pada satu ketika dulu dikenali sebagai Cat Stevens. Dilahirkan dengan nama Steven Demetre Georgiou pada 21 Julai 1948 di London, beliau mula dikenali sebagai Cat Stevens sejak tahun 1966 hingga 1978. 

Namanya pernah dijulang dalam arena muzik dunia dan beliau telah meraih pelbagai anugerah serta pengiktirafan. Terkenal sebagai seorang pemuzik, penyanyi, dan pencipta lagu, banyak karya ciptaannya yang menjadi siulan pencinta dunia seni pop. 

Namun selepas memeluk agama Islam beliau juga dikenali sebagai seorang pendidik, dermawan dan pemeluk agama Islam tersohor yang berbangsa Inggeris. 

Perjalanannya menemui Islam juga mempunyai sebuah kisah yang menarik. Menurut beliau, sewaktu bercuti di kota Marrakesh di Maghribi, beliau terpegun mendengar laungan azan dan bertanya apakah laungan tersebut.  Ada seseorang memberitahu beliau bahawa itulah ‘muzik’ buat Tuhan. Dan di situ beliau mula bertanya pada dirinya sendiri. Muzik Buat Tuhan? Selama ini muzik yang beliau kenali hanyalah muzik untuk wang, populariti dan kuasa tapi bukan muzik untuk Tuhan.   

Pada tahun 1976, Stevens hampir lemas di perairan Malibu, di California, Amerika Syarikat, kemudian dia menjerit sambil berkata : “Oh, Tuhan! Jika Kau menyelamatkan aku, aku akan bekerja untuk mu.” Menurut beliau, selepas itu ombak muncul dan membawanya ke tepi pantai. Ini menguatkan pencariannya untuk menemui iman sejati. Beliau meneliti agama Buddha, ajaran Zen, I Ching, numerologi, kad tilik dan juga astrologi. Abangnya David Gordon yang baru memeluk agama Yahudi memberikannya salinan  kitab Al-Quran sebagai sebuah hadiah Hari Jadi selepas pulang dari Baitulmuqaddis.  

Beliau mengakui bahawa beliau sebenarnya tidak mungkin akan mengambil dan membaca Al_Quran secara sukarela kerana beliau lebih cenderung mengikuti agama Ortodoks Yunani yang dianuti oleh ayahnya. Namun hadiah daripada abangnya itu benar-benar dipelajari kandungannya, dan itulah yang mencetus penghijrahan beliau ke agama Islam dan yang akan mengubah hidupnya untuk selama-lamanya. 

Sewaktu mempelajari Al-Quran beliau seolah-olah dapat mengaitkan dirinya dengan kisah Nabi Yusuf, seorang lelaki yang dibeli dan dijual di pasar, kerana beliau merasakan dirinya juga seperti itu dalam dunia muzik.  

Dalam sebuah temubual bersama majalah Rolling Stone , beliau berkata “Saya telah menemui rumah iman sejati yang saya tercari-cari selama ini. Dan jika anda mendengar muzik dan lirik saya dalam lagu seperti “Peace Train” serta “On The Road To Find Out”, ia menunjukkan dengan jelas keinginan saya mencari arah dan perjalanan kerohanian yang saya tempuhi.” 

Beliau memeluk Islam secara rasmi pada 23 Disember 1977, dan memilih nama Yusuf Islam pada tahun 1978. Beliau mengakui yang beliau memang tertarik dengan nama dan kisah Nabi Yusuf  dalam Al-Quran. Walaupun tidak menyanyi lagu-lagu pop lagi, beliau sempat menghasilkan lagu berunsur dakwah dan nasyid selepas memeluk Islam.   

Selepas memutuskan pertunangan ringkas dengan Louise Wightman, beliau kemudian mengahwini Fauzia Mubarak Ali pada 7 September 1979, di Masjid Regent’s Park di London. Mereka kini mempunyai seorang anak lelaki dan empat orang anak perempuan.  

Biarpun kini menetap di London dan sering menghabiskan waktu di Dubai, beliau telah menggunakan wang hasil pendapatannya sebagai ahli muzik untuk tujuan kebajikan dan pendidikan Islam. Ini termasuklah  membina sekolah, pertubuhan kebajikan dan juga yayasan yang membantu anak-anak dan keluarga di negara-negara Balkan, Indonesia dan Iraq. Beliau juga pernah menjadi pengerusi Muslim Aid dari 1985 hingga 1993. 

Semoga kisah inspirasi beliau dapat dijadikan contoh dan teladan buat kita semua dalam memberikan yang terbaik sebagai Muslim. Inshaa Allah. 

Gambar ihsan : Anadolu Agency

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *