fbpx

Tokoh Momogun Muslim : Ustazah Nooraidah Hidayah Dakun Abdullah

Sejak bertambahnya jumlah penganut agama Islam di kalangan komuniti Momogun, ramai di kalangan mereka yang telah membantu mencorakkan lagi kejayaan serta pembangunan masyarakat ini. Selain daripada golongan Adam, kaum Hawa Momogun Muslim tidak ketinggalan memainkan peranan.

Di antara para wanita yang telah menyumbang kepada kemajuan kumpulan ini adalah Ustazah Nooraidah Hidayah Dakun Abdullah. Dilahirkan di Tambunan dan berasal dari kumpulan etnik Dusun Liwan, beliau seperti kebanyakan ahli keluarganya datang dari keluarga yang berkepercayaan Pagan sewaktu kelahiran.

Kepercayaan yang mempunyai banyak hubung kait dengan penghormatan kepada alam sekitar itu turut mempunyai sistem keyakinan mereka tersendiri. Menurut Ustazah Nooraidah, ahli keluarga asalnya mempunyai darah keturunan ‘bebelian’ atau juga dipanggil ‘bobohizan’.  Menurut ajaran Pagan yang pernah dianuti keluarganya, golongan ‘bobohizan’ ini dianggap seperti golongan mulia dan mempunyai martabat yang sangat tinggi dalam hirarki kaum mereka.

Lazimnya, golongan bobohizan ini sering menjadi rujukan dan tempat untuk meminta bantuan dan nasihat sekiranya ada masalah yang timbul. Mereka juga dikatakan boleh mengubat penyakit yang tidak dapat dirawat oleh perubatan moden dan berkebolehan melakukan pelbagai perkara lain. Malah mereka yang berdarah bobohizan juga sangat menjaga kehormatan serta nilai kemuliaan diri dan sama sekali tidak berbuat jahat dengan orang lain.

Menurut Ustazah Nooraidah, ayahnya sendiri merupakan seorang tokoh bobohizan yang penting dan mampu mengubat orang dengan hanya menggunakan jampi serapah.

Oleh kerana kedudukan mereka yang dianggap sangat tinggi dalam masyarakat sendiri, mereka tidak pernah berfikir tentang konsep agama dan selesa dengan keadaan mereka. Malah bapanya pernah berpesan bahawa agama luar seperti Islam bukan agama mereka dan ia agama penduduk Semenanjung Malaysia yang tidak perlu diikuti oleh kumpulan etnik beliau.

Dengan mempercayai bahawa kedudukan mereka itu istimewa dan dikhaskan seperti yang dipesan oleh nenek moyang sebelum ini, mereka diamanahkan untuk menjaga kemuliaan golongan tersendiri dan tidak boleh keluar dari ajaran tersebut.

Namun di kala usia beliau meningkat remaja, para mubaligh Kristian banyak mengajak komunitinya untuk memeluk agama Kristian beramai-ramai. Saat itu, kedudukan ajaran tradisi Pagan mereka terancam. Biarpun keluarga mereka tidak mudah beralih kepercayaan, pengaruh serta ajaran Kristian lebih mudah diterima kerana ia tidak menjejaskan gaya hidup yang sudah sering mereka amalkan sejak turun-temurun.

Berbanding agama Islam, ajaran Kristian tidak melarang penganutnya untuk memelihara dan memakan babi, minum alkohol serta membela anjing. Ini memudahkan masyarakat mereka untuk menerimanya secara beransur-ansur.

Dengan ajaran Islam yang tidak membenarkan perkara-perkara seperti di atas membuat ia menjadi agama yang paling tidak disukai oleh komunitinya. Malah ia menjadi isu yang begitu sensitif sehingga ada yang pernah mendapat ancaman jika memilih Islam satu ketika dulu.

Walau  bagaimanapun Ustazah Nooraidah yang pada ketika itu sudah beragama Kristian sebenarnya ada tersimpan niat di lubuk hatinya untuk mendalami Islam. Dia tertarik dengan konsep Islam di mana perubahan harus bermula dari dalam dan bukan sekadar luaran sahaja. Namun suara kecil hatinya itu terpaksa didiamkan kerana tidak akan diterima oleh keluarga dan masyarakatnya.

Tetapi takdir memang tidak dapat ditentang. Menurut beliau walaupun sudah menjadi penganut Kristian, perkataan Islam terus melekat di hatinya sehinggalah terjadi perkara-perkara yang tidak dapat dijelaskan dengan mudah.

“Seperti ada sesuatu di dalam diri yang memberikan penjelasan tentang Islam kepada saya saat saya ke gereja. Saya sukar untuk menjelaskan perasaan itu tapi cukuplah dengan sekadar memberitahu kuasa Allah itu maha besar, dan panggilan untuk saya memeluk Islam itu menjadi semakin jelas dan dekat. 

Sewaktu awalnya saya simpan sahaja rasa tersebut dan tidak menghiraukannya. Namun saya sering bermimpikan perkara itu sehingga terbayang berada di dalam kubur yang gelap  dan berfikir bahawa tiada harapan sesudah itu. Namun entah kenapa saya sedar saya mampu keluar dari kegelapan itu kerana masih ada harapan untuk mengubahnya melalui jalan yang diajar dalam Islam. 

Pada tahun sebelumnya saya melihat sendiri mendiang datuk saya dikebumikan dan dia menjadi tanah selepas mati. Di situ di fikiran saya, perjalanannya di dunia dah berakhir. Namun panggilan kepada Islam itu terus menebal dan menyedarkan saya ada lagi kehidupan sesudah mati. 

Berhadapan dengan konflik dalam diri untuk memeluk Islam  membuatkan saya tertekan. Saya ingin bertanya tentang Islam tetapi tiada rujukan atau bantuan. Bertahun saya berfikir untuk memeluk Islam tapi harapan itu saya kuburkan selepas menyedari bahawa hidup saya akan susah dan dibuang masyarakat sendiri.

Sungguhpun begitu, panggilan terhadap agama Allah yang Esa menjadi semakin kuat sehingga saya tidak dapat melawannya. Saat itu saya sedar jika saya ingin selamat di dunia dan akhirat, Islamlah jalannya dan saya harus mengucapkan syahadah. Dengan panggilan dan mimpi yang silih berganti, pada usia 15 tahun sewaktu bersekolah di asrama saya mengucapkan syahadah dan memeluk Islam. Dari saat itulah semakin banyak dugaan saya harungi,” jelas Ustazah Nooraidah secara lebar.

Keluarga beliau kemudian memutuskan hubungan dengannya dan dia tidak lagi menerima bantuan keluarganya. Keadaan pelajaran serta kesihatannya terjejas dan kebahagiaan diragut dari hidupnya sehingga ada ancaman dari keluarga sendiri. Namun kepercayaannya pada takdir Allah tidak luput dan beliau berfikir tidak mengapalah jika sesuatu terjadi padanya, yang penting dia sudah mengucapkan syahadah dan memeluk Islam.

Kecekalan itulah yang telah membawanya ke suatu tahap baru dalam hidupnya sekarang. Kini beliau bertugas sebagai pegawai di Hidayah Centre Foundation di Keningau dan cuba melakukan yang terbaik untuk komunitinya. 

“Saya belum mampu berbuat banyak tapi buat setakat ini saya dapat menghulurkan bantuan sedikit seperti menderma barangan dapur dan wang ringgit serta membantu membaiki jalan kawasan pedalaman.

Apa yang penting bagi saya adalah melihat makin ramai masyarakat Momogun yang memeluk Islam dan ini membuat saya gembira. Saya harap mereka dapat menjaga akidah dan tauhid di dalam hati dengan baik.

Saya turut memberikan nasihat dalam bentuk kaunseling buat mereka yang kadangkala terasa seperti iman mereka goyah dan tidak pasti. Saya juga berharap agar masyarakat Momogun Muslim terus memelihara kesucian Islam dalam hati dan memperkasakan Islam di negeri ini sendiri.

Jika kedudukan Islam di kalangan komuniti Momogun Muslim terancam, saya tak akan teragak-agak untuk mempertahankan agama yang saya cintai ini. Saya sangat bersyukur dapat memeluk Islam dan harap ia tidak akan disalahgunakan dalam masyarakat sekarang. 

Semoga masyarakat Momogun Muslim terus menjaga ketulenan Islam dan menghargai kebenarannya. Saya benar-benar ingin melihat komuniti Momogun Muslim menjadi maju, kaya dan mengecapai kejayaan berteraskan agama.,” ujar beliau menutup biacara.

Semoga semua yang diusahakan oleh Ustazah Nooraidah tidak disia-siakan dan semoga kita semua mendapat manfaat dan pengajaran daripada pengalamannya. Inshaa Allah. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *